Monday, August 6, 2007

Cerita Combat

Apabila melihat iklan Tv tentang sekumpulan kanak-kanak yang bermain perang, terkenang zaman kanak-kanak sewaktu cerita combat popular di kaca tv pada hujung tahun 70-an. Kisah peperangan antara Tentera Amerika dengan tentara Jerman dalam peperangan Dunia ke-2. Sarjan Saunders yang mengetuai sekumpulan tentera Amerika yang menentang pasukan tentera Jerman di benua Eropah.

"Amerikana! Amerikana!" jerit tentera Jerman setiap kali terserempak dengan tenetra Amerika. Apa yang hairan bin pelik ialah tentera Amerika tak pernah kalah dengan tentera Jerman dalam setiap episod cerita combat itu. Itulah propaganda yang menunjukkan superiority race bangsa Amerika ke seluruh dunia. Mengapa mesti kita mengambil cerita combat seperti latarbelakang iklan ini dan bukannya kisah peperangan tempatan seperti Mat Kilau, Tok janggut dan sebagainya? Sampai bila kita mengagungkan-agungkan bangsa barat...Kemanakah pergi patriotisme kita selepas 50 tahun merdeka.

Makanan Arab di Sri Petaling

Minggu lepas, saya berpeluang sekali lagi menikmati makanan Arab di sebuah Restoran di Sri Petaling. Kebanyakkan pelancong dari Timur Tengah singgah di restoran untuk makan juadah kegemaran mereka semasa bercuti di Malaysia. Suasana dalam restoran ini tidak ubah seperti berada di negara Timur Tengah. Tambahan pula dengan irama padang pasir yang berkemundang dari corong speaker. Tekak yang kering berasa segar semula apabila menikmati teh Arab yang berperisa pudina. Makan roti Arab dengan Hommus pula tak kurang enaknya. Kini ketagihan makanan Arab semakin memuncak sehingga berkejar ke restoran Arab apabila ada kesempatan. Ya la Ya la...

Friday, August 3, 2007

Batuk oh batuk..

Ada macam-macam ubat batuk di pasaran. Ubat batuk Cap ibu dan anak, Ubat batuk cap kelapa laut Afrika, ubat batuk cap tiga kaki, ubat batuk cap breacol dan pelbagai jenama lagi. Ada petua tradisional untuk mengubat batuk yang tak sembuh setelah jumpa doktor, makan antibiotik dan minum ubat batuk. Ada yang cadang minum madu dengan limau kasturi, ada pula yang kata minum kicap dengan limau nipis, ada kawan kata minum air suam dengan garam, ada jiran kata minum air kelapa dengan garam dan paling menarik ialah minum air bergas. Semua sudah dicuba namun batuk yang menyerang masih lagi bersarang lagi. Apa yang patut kita buat?

Ahlan wa Sahlan Ya Arabi

Saya ke KLIA pada hari Selasa minggu lepas untuk menghantar ibu mertua saya yang pergi menunaikan umrah bersama sepupunya. Kami tiba di KLIA pada pukul 10.40 pagi. Ruang legar KLIA dipenuhi oleh pelancong Arab tidak kira umur, bangsa dan jantina yang berangkat pulang setelah bercuti di Malaysia. Kaum perempuan semuanya memakai Abayah, hanya nampak mata sahaja dan bau minyak wangi.......kuatnya.
Sementara itu, ada satu kumpulan pelancong Arab yang baru tiba di KLIA. Pakaian mereka amat berbeza dengan mereka yang nak pulang. Yang lelakinya memakai seluar pendek dan berbaju T-shirt, manakala perempuannya pula memakai pakaian yang mengejutkan pak arab yang nak pulang. Ya habibi...Ya la..Ya habibi...Ya la....

Solat Jumaat di LUTH Kuala Lumpur

Hari saya ke Kuala Lumpur kerana ada urusan di Menara Citibank. Kebetulan saya tiba di Jalan Tun Razak pada pukul 1.20 tengahari lalu singgah di LUTH untuk menunaikan solat Jumaat. Kesesakkan jalanraya..aduh mak oi..tensen. Saya meletakkan kereta di tepi jalanraya berhadapan bangunan PNB. Tawakkal sahaja. Kalau kena gesel dengan kereta yang lalu di tepi, nasiblah.. Saya berjalan menuju ke arah bangunan LUTH. Kedengaran azan berkemundang dan kaum muslimin mula berpusu-pusu menuju ke bangunan LUTH.
Ada yang masuk ke dalam Masjid LUTH di aras bawah tanah dan ada juga yang membentang sejadah di ruang pintu masuk bangunan LUTH. Ada juga yang membentang tikar lalu duduk berbual sambil menikmati makanan atau minuman di kawasan taman kecil yang terletak 10 meter dari ruang pintu masuk tadi. Solat Jumaat atau berkelah, kawan oi. Walaupun kutbah Jumaat dibacakan namun ada masih berbual sesama kawan di sekeliling bangunan LUTH tersebut sambil berdiri menunggu solat Jumaat.
Ramai yang membawa sejadah untuk solat Jumaat tetapi digunakan oleh diri sendiri. Apa salahnya semua sejadah itu digabungkan supaya dapat dikongsi dengan mereka yang tidak membawa sejadah. Ada yang terpaksa bersolat berlantaikan simen keran tidak membawa sejadah. Bayangkan simen yang dipijak oleh ribuan orang saban hari yang berurusan di LUTH menjadi tempat sujud jemaah solat Jumaat. Subahanallah.

Thursday, August 2, 2007

Peristiwa 2 Pesta buku Selangor

Seorang lelaki membawa anaknya melawat sebuah booth penerbit buku terkemuka. Dia tertarik beberapa buah buku yang disusun rapi di atas meja pamiran Dia menghampiri meja pamiran untuk melihat buku-buku yang di atas meja itu.

"Berapakah harga buku?" tanya lelaki dalam lingkungan 40-an sambil melihat bahagian belakang buku tersebut.

"Harganya ada tertera di belakang buku." balas pembantu booth dengan senyuman manis di wajahnya.

"Apa! RM12.50 untuk buku saiz macam ini," komen lelaki itu yang hampir menjatuhkan buku di tangannya ke atas meja..

"Mahal sangat... kalau setakat lima ringgit boleh belilah. RM12.50 ini mahal untuk buku sebesar ini..................".kata lelaki itu lagi sebelum meninggalkan booth itu.

Peristiwa 1 Pesta buku Selangor

Sebuah keluarga yang terdiri dari seorang ibu dan anak perempuan telah datang ke sebuah booth penerbit buku termuka. Ibunya melihat beberapa buah novel di rak buku sambil anaknya pula membelek beberapa buah novel remaja yang diletakkan di atas meja pamiran.

"Buku ini sesuai untuk dibaca oleh pelajar 11 tahun?" tanya ibunya kepada pembantu booth yang berusia dalam lingkungan 20-an.

"Sesuai puan kerana novel menceritakan mengenai cabaran yang dihadapi oleh pelajar yang belajar di sekolah berasrama penuh..."

"Adik nak beli buku ini?" tanya ibunya sambil menunjukkan buku yang dicadangkan oleh pembantu booth itu.

Anak perempuannya mengangguk sambil memegang novel lain di tangannya......

Pesta Buku Selangor

Saya berpeluang untuk melawat pesta buku Selangor yang diadakan di bangunan PKNS Shah Alam pada hari Ahad minggu lepas. Tempat letak kereta di SACC penuh dengan kereta. Orang berpusu-pusu ke bangunan PKNS membawa anak mereka untuk membeli buku di booth penerbit atau pengedar buku. Kebanyakkan pengunjung pesta buku ini terdiri dari orang Melayu sama ada yang tua atau pun yang muda. Di samping booth menjual buku dan majalah, terdapat booth sekolah-sekolah menengah seluruh Selangor menjual pelbagai barangan seperti kerepek, buah-buahan, tikar dan sebagainya. Ada pelbagai peristiwa yang berlaku di depan saya ketika mencari buku di pesta buku ini.